Sejarah dan tujuan QWERTY

Papan kekunci QWERTYMesin taip dengan bentangan QWERTY

Pada asalnya, huruf-huruf pada mesin taip yang direka oleh Christopher Sholes disusun mengikut urutan abjad. Apabila operator mesin taip telah mahir dan dapat menaip dengan pantas, bar-bar taip yang terletak berhampiran dalam papan kekunci seringnya didapati tersangkut dan memaksakan jurutaip membebaskannya secara insani. Perbuatan ini juga selalu mencomotkan dokumen.[2]

James Densmore, seorang rakan perniagaan Sholes, kemudian mencadangkan pengasingan kekunci bagi huruf-huruf yang biasa digunakan untuk mengatasi masalah tersebut. Kesan penyusunan semula huruf-huruf terhadap kepantasan menaip merupakan suatu persoalan yang masih dipertikaikan. Sesetengah sumber menegaskan bahawa bentangan QWERTY direka bentuk semata-mata untuk memperlahankan penaipan agar mengurangkan kejadian bar-bar taip terjepit.[3]

Sebaliknya, sumber-sumber yang lain menegaskan bahawa penyusunan semula itu bertujuan untuk mengelakkan bar-bar taip yang digunakan berturut-turut diletakkan bersebelahan dan dengan itu, mengurangkan gangguan bar taip antara satu sama lain.[4][5][6]

Baris asas (ASDFGHJKL) dalam bentangan QWERTY dipercayai merupakan saki-baki bentangan abjad yang lama yang digantikan oleh QWERTY. QWERTY juga mencuba menggilir-gilirkan kekunci antara kedua-dua tangan dan membenarkan satu tangan menyediakan diri semasa tangan yang lain menekan kekunci.

Satu akibat bentangan yang malang untuk jurutaip yang biasanya menggunakan tangan kanan adalah bahawa lebih banyak perkataan bahasa Inggeris dieja dengan hanya menggunakan tangan kiri. Sebenarnya, beribu-ribu perkataan bahasa Inggeris dieja dengan hanya menggunakan tangan kiri, berbanding dengan hanya beberapa ratus perkataan yang dapat ditaip dengan hanya menggunakan tangan kanan. Ini amat membantu orang yang biasanya menggunakan tangan kiri [7] serta juga mereka yang menggunakan komputer, dengan tangan kanan dikhaskan untuk tetikus dan tangan kiri dibebaskan sebagai tangan utama untuk menaip.